Sunday, 9 November 2014

GST DAN RAKYAT

Pengenalan
Cukai Barang dan Perkhidmatan atau di kenali sebagai GST telah lama menjadi tajuk perbualan di kalangan masyarakat negara ini. Ianya bermula sejak tahun 2004 apabila Y.A.B. Dato’ Sri Abdullah Ahmad Badwi pada ketika itu Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelaksanaan GST pada pembentangan Belanjawan Negara 2005 di parlimen. Kerajaan telah  mencadangkan GST di laksanakan pada 1 Januari 2007 dan segala persiapan dari aspek dasar, perundangan dan perkomputeran perlulah disiapkan dalam tempoh tersebut.

Kajian yang mendalam dan terperinci telah di lakukan oleh Panel Kajian Semula Cukai, Perbendaharaan Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia melalui pasukan kerja yang dibentuk dan beberapa negara yang telah melaksanakan GST dijadikan model untuk merangka model GST Malaysia. Beberapa siri lawatan ke luar negara juga telah dilakukan untuk mengkaji dan melihat dengan lebih dekat pelaksanaan di negara yang telah berjaya dalam pelaksanaan GST.

Persatuan di kalangan industri juga turut melibatkan diri dalam dialog dan konsultasi anjuran Panel Kajian Semula Cukai bagi memastikan dasar yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan industri. Pihak industri telah diberi peluang untuk memberi pandangan dan komen tentang deraf perundangan dan polisi yang dirangka bagi model GST Malaysia.

Namun begitu, pada Januari 2006 Y.B Tan Sri Nor Mohamed Yakcop selaku Menteri Kewangan II telah mengumumkan pelaksanaan GST pada 1 Jan 2007 ditangguhkan. Penangguhan ini adalah untuk memberi peluang kepada peniaga supaya memahami dan lebih bersedia untuk menghadapi GST.

Setelah pelbagai usaha dilaksanakan untuk memberi kesedaran dan pendidikan kegada golongan peniaga, akhirnya pada 25 Oktober 2013, Y.A.B Dato' Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan Malaysia melalui pembentangan bajet 2014, telah mengumumkan pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

Pengumuman tersebut sememangnya di nantikan oleh rakyat khususnya komuniti perniagaan. Saban tahun, setiap kali pembentangan bajet pelbagai spekulasi wujud di kalangan peniaga yang ingin mengetahui samada pengumuman tentang pelaksanaan GST ini akan buat oleh Perdana Menteri. Segalanya terjawab pada pembentangan bajet 2014 dan rakyat serta komuniti perniagaan perlu melakukan persediaan bagi menghadapi pelaksanaan GST kelak.

Reaksi rakyat tentang pelaksanaan GST
Pengumuman kerajaan untuk melaksanakan GST  telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan rakyat dan peniaga. Golongan peniaga tidak mempunyai banyak masalah dengan pelaksanaan GST kerana mereka boleh menuntut semula GST yang telah dibayar untuk pembelian barang dan perkhidmatan bagi tujuan perniagaan dan ini secara langsungnya akan mengurangkan kos perniagaan mereka.

Reaksi yang bercampur pula timbul dikalangan masyarakat umum khususnya pengguna. Mereka adalah golongan yang akan menanggung serta membayar GST kepada kerajaan. Pemahaman yang jelas perlu diberikan kepada rakyat dan pengguna bagi memastikan mereka faham tentang konsep GST. Pada umumnya, rakyat telah mendapat maklumat tentang GST melalui ceramah dan dialog yang dianjurkan oleh kementerian kewangan dan Jabatan Kastam. Sebahagian dari mereka dapat memahami konsep cukai kepenggunaan dan GST khususnya.

Ada dikalangan pengguna yang keliru dengan pelaksanaan GST kerana mereka telah disajikan dengan pelbagai maklumat yang tidak tepat hingga menyebabkan mereka marah dan menentang pelaksanaan GST. Dalam era teknologi maklumat, pengguna boleh mengakses maklumat melalui internet dan mereka boleh membuat perbandingan melalui maklumat yang disebarkan. Penerangan yang jelas dan tepat adalah perlu memandang GST ini merupakan sistem percukaian yang unik. Program ceramah dan taklimat perlu sampai hingga ke peringkat akar umbi iaitu bandar, daerah, mukim, kampung hingga ke kawasan pedalaman.

GST adalah merupakan salah satu instrument persediaan ke arah negara maju pada tahun 2020. Sebahagian besar negara maju di dunia ini telah melaksanakan sistem percukaian GST.

Mengapa GST penting kepada negara
GST adalah merupakan Cukai Kepenggunaan yang akan menggantikan cukai semasa iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Cukai Jualan telah dilaksanakan sejak tahun 1972 manakala Cukai Perkhidmatan telah dilaksanakan sejak 1975. 

Kedua-dua cukai ini didapati tidak lagi relevan dengan keadaan semasa kerana ianya mempunyai kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Ianya perlu digantikan dengan satu sistem percukaian yang menyeluruh dan saksama bagi memanfaatkan seluruh rakyat.

Pada ketika ini Cukai Jualan adalah pada kadar 5% dan 10% manakala Cukai Perkhidmatan adalah sebanyak 6%. Kerajaan telah mencadangkan GST yang akan dilaksanakan adalah pada kadar 6% dan ianya adalah yang terendah di kalangan negara ASEAN yang puratanya adalah 7% hingga 10%. Sehingga hari ini sebanyak 160 buah negara di dunia telah melaksanakan GST dengan jayanya.

GST merupakan satu sistem percukaian yang lebih efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik serta meningkatkan daya saing kepada pelaburan global. Ianya merupakan sistem percukaian yang dikenakan di setiap peringkat pengedaran dari pengilangan, pemborong, peruncit hingga pengguna. Peniaga boleh menuntut kembali cukai yang telah dibayar untuk tujuan perniagaan melalui sistem kredit cukai input.

GST adalah merupakan cukai tidak langsung dan ianya satu sistem percukaian yang stabil dan mampu menjana pendapatan yang konsisten kepada negara. Pada ketika ini, negara terlalu bergantung kepada hasil petroleum dan gas di mana ianya menyumbangkan hampir sepertiga dari pendapatan negara. Memandangkan simpanan minyak negara semakin berkurangan, maka kerajaan

perlu mencari sumber baru bagi pendapatan negara dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad.

Pendapatan dari cukai langsung seperti cukai pendapatan dan cukai korporat memberi pendapatan yang lumayan untuk negara. Namun begitu ianya bukanlah pendapatan yang stabil kerana apabila ekonomi merudum, keuntungan yang yang diperolehi oleh syarikat akan berkurangan dan jumlah cukai korporat yang dibayar berkurangan. Senario yang sama juga dengan pendapatan petroleum, apabila harga minyak melambung sehingga USD100 dollar setong, Petronas akan meraih keuntungan yang besar dan memberi sumbangan yang tinggi dalam bentuk cukai kepada kerajaan.

Oleh itu, GST adalah merupakan satu sistem percukaian yang lebih stabil dan ia merupakan broadbased tax dan berdasarkan kepenggunaan.

Bagaimana GST memberi manafaat kepada rakyat
GST adalah merupakan cukai penggunaan yang mana ia dapat mengawal perbelanjaan seseorang individu tersebut. Sekiranya seseorang itu suka berbelanja maka lebih banyak GST yang akan dibayar. Melalui sistem percukaian ini, golongan yang berpendapatan tinggi ini akan membayar GST yang banyak berbanding golongan berpendapatan rendah.

Sistem yang lebih telus pula memberi manfaat yang besar kepada pengguna kerana mereka tahu berapa jumlah cukai yang dibayar berbanding dengan sistem sekarang. Setiap resit yang di cetak akan tertera jumlah cukai yang telah dibayar dan pengguna dapat mengetahui jumlah cukai yang dibayar. Pengguna boleh menyimpan data peribadi tentang perbelanjaan harian serta jumlah cukai yang telah dibayar atau di sumbangkan kepada kerajaan. Dalam situasi ini, pengguna boleh mengawal perbelanjaan mereka dengan memantau jumlah perbelanjaan harian dan bulanan. Lebih banyak mereka berbelanja maka lebih banyak cukai yang perlu mereka bayar.
  
Cukai yang dikutip akan disalurkan kembali kepada rakyat melalui pembangunan seperti jalanraya, sekolah, perkhidmatan kesihatan dan juga keselamatan. Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif cukai dan galakan pelaburan kepada sektor swasta bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan ianya secara tidak langsung meningkatkan peluang pekerjaan rakyat.

Usaha kerajaan memberi kesedaran kepada rakyat
Kerajaan telah mengadakan program kesedaran tentang GST khususnya kepada komuniti perniagaan sejak tahun 2005. Program konsultasi dan kesedaran telah diadakan dengan tujuan untuk memberi kefahaman kepada peniaga tentang konsep dan mekanisme gst kepada komuniti perniagaan.

Program bersama rakyat juga telah diadakan melalui program bersama penduduk atau masyarakat setempat yang dianjurkan oleh pemimpin setempat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) dan Ahli Parlimen. Rakyat telah diberi penjelasan tentang konsep GST dan yang lebih penting ialah ianya tidak membebankan rakyat. Rakyat perlu faham tentang konsep cukai khususnya mengapa cukai dikutip, bagaimana ianya dikutip dan ke manakah kutipan itu akan disalurkan.

Secara keseluruhannya, GST adalah merupakan sistem percukaian yang adil, telus dan menyeluruh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia. Ianya mengurangkan karenah birokrasi dan kebergantungan kepada cukai pendapatan dan petroleum. Ianya menjadikan negara lebih berdaya saing serta dapat menggalakkan kemasukan pelaburan asing.

Semua pihak perlu memberi sokongan serta membantu kerajaan dalam menyebarkan maklumat yang tepat bekaitan GST. Kerjasama dari badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia(FOMCA), Persatuan Pengguna Islam(PPIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan(KPDNKK) amat penting bagi membantu memberi penerangan kepada pengguna dan peniaga.


Hisham Nor.

No comments: