Saturday, 15 November 2014

PEMINJAM TEGAR BERDEPAN TINDAKAN TEGAS

1.   Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional(PTPTN) akan mengambil tindakan yang tegas keatas peminjam yang degil membayar hutang. Ini berikutan langkah yang bakal diambil oleh PTPTN iaitu menyenarai peminjam yang terdiri dari lepasan universiti melalui Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (Central Credit Reference Information System) atau lebih dikenali sebagai CCRIS. Antara yang direkodkan dalam CCRIS adalah semua jenis pinjaman peribadi, pinjaman rumah, kenderaan, hutang kad kredit serta menjadi penjamin kepada peminjam.

2.      Sistem ini dikendalikan Biro Kredit ditubuhkan di bawah Akta Bank Negara 1958 dan mula beroperasi sejak tahun 1982. Setiap institusi kewangan yang bernaung di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) akan menghantar maklumat semua peminjam secara bulanan ke BNM untuk dimasukkan ke pengkalan data. Maklumat ini sentiasa dikemaskini berdasarkan laporan dari institusi kewangan terbabit. Dengan adanya sistem CCRIS, institusi kewangan boleh membuat semakan tentang komitmen kewangan seseorang yang ingin membuat pinjaman.

3.   Menurut Pengerusi PTPTN, Dato’ Syamsul Nasarah, penyenaraian akan dibuat secara berperingkat melibatkan seramai 173,985 peminjam tegar yang langsung tidak pernah membayar pinjaman mereka lebih 3 tahun dari tarikh mereka patut bayar balik dengan jumlah tunggakan sebanyak RM1.23 billion. Langkah ini diambil setelah mendapat pandangan Kabinet, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mahasiswa dan Jawatankuasa Fiskal.

4.   PTPTN perlu menyediakan pinjaman sebanyak 5.0 billion setahun bagi membiayai  kos yuran dan sara hidup pelajar di IPTA dan IPTS. Sejak tahun 1997 hingga 30 September lalu, PTPTN sudah meluluskan pembiayaan pendidikan sebanyak RM48.36 billion kepada lebih 2.1 juta pelajar di negara ini.

5.   PTPTN juga mengambil langkah penjimatan bagi memastikan manfaat pembiayaan dapat diberi kepada semua yang memerlukan kemudahan pembiayaan. Langkah pengurangan pembiayaan pinjaman adalah sebanyak 5% kepada IPTA dan 15% kepada IPTS. Langkah ini berikutan kekurangan dana bagi menampung 50,000 peminjam baru yang akan memulakan pengajian pada bulan ini.

6.      Kekurangan dana tersebut telah menyebabkan PTPTN mengambil langkah drastik untuk menyenaraikan peminjam kedalam CCRIS bagi memastikan peminjam membayar balik pinjaman mereka.

7.    Tunggakan sebanyak RM1.23 billion merupakan satu jumlah yang besar dan dapat memberi pinjaman kepada sebilangan besar pelajar yang memerlukan. Langkah ini dilihat perlu kerana sekiranya tiada usaha yang tegas diaambil maka lebih ramai lagi peminjam akan mengambil kesempatan untuk menggelak dari membayar balik pinjaman.

8.      Kerajaan juga faham masalah yang dihadapi oleh pelajar kerana ada diantaranya masih tidak mendapat pekerjaan yang tetap atau bekerja secara sambilan. Namun begitu peminjam mempunyai ruang untuk berunding dengan pihak PTPTN bagi mencari kaedah dan jadual pembayaran yang fleksibal bersesuaian dengan keadaan dan situasi peminjam tersebut.

9.      Saban tahun pihak PTPTN telah berusaha mendapatkan semula bayaran balik pinjaman dan  diskaun juga telah ditawarkan kepada peminjam yang ingin membayar penuh pinjaman. Namun segala usaha yang dilakukan tidak menghasilkan pulangan yang diharapkan dan masih ramai lagi peminjam yang berdegil untuk tampil membayar balik pinjaman.

10.   Sekiranya peminjam masih berdegil untuk tidak mahu menjelaskan pinjaman, mereka bakal berdepan dengan masalah untuk mendapat pinjaman dari institusi kewangan di masa akan datang. Melalui CCRIS segala data peminjam direkod dan institusi kewangan akan menyemak melalui CCRIS sebelum meluluskan sesuatu pinjaman itu. Peminjam akan menghadapi kesukaran untuk membeli rumah, kenderaan atau membuat pinjaman peribadi dari institusi kewangan kerana maklumat atau data peminjam akan mempengaruhi kelulusan permohonan atau jumlah pinjaman.

11.     Isu ini perlu dilihat dari sudut yang positif kerana bilangan pelajar yang mendak melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi semakin meningkat dari tahun ke tahun. Keperluan pendidikan semakin meningkat dan persaingan untuk melanjutkan pelajaran semakin mendesak.

12.     Matlamat penubuhan PTPTN untuk memberi memberi pinjaman kepada pelajar ijazah pertama di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta tempatanuntuk membiayai yuran pengajian, kos sara hidup serta pembelian buku dan peralatan yang berkaitan.

13.    Sehubungan dengan itu, peminjam perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk membayar balik pinjaman kerana ramai yang memerlukan pinjaman untuk meneruskan pengajian di peringkat pengajian tinggi. Pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.

14.     PTPTN telah merangka beberapa penyelesaian bagi membantu peminjam yang disenaraikan dalam CCRIS termasuk membayar keseluruhan tunggakan serta membuat komitmen bayaran secara ansuran melalui potongan gaji atau arahan tetap bank.

15.   Pada kesimpulannya, peminjam diberi masa dan peluang untuk melunaskan hutang mereka dengan kaedah ansuran yang tidak membebankan mereka. Mereka perlu mengambil kesempatan ini memandangkan kerajaan telah banyak memberi ruang.


Hisham Nor.

No comments: