Monday, 11 May 2015

CUBA BUNUH DIRI KERANA GST

1.  Perkara ini sememanganya telah di jangka sejak dari awal pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015. GST adalah merupakan satu sistem percukaian baru yang menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah dilaksanakan sejak 1972 dan 1975.

2.  Cubaan bunuh diri yang dilaporkan berlaku di Teluk Intan, Perak itu mungkin bukan yang pertama berlaku kerana mungkin ramai yang melahirkan rasa tertekan dengan pelaksanaan GST. Mujurlah beliau sempat diselamatkan walaupun telah meminum racun dan sempat mengkelarkan tangganya. 

3.  GST adalah merupakan sistem percukaian yang telus dan akan membawa banyak manfaat kepada rakyat. Peniaga yang menghadapi masalah adalah golongan warga emas khususnya yang menjalankan perniagaan tunggal seperti kedai runcit, kedai kopi, kedai jam dan beberapa jenis perniagaan lagi.

4.  Pada kebiasaannya golongan ini telah menjalankan perniagaan sejak berpuluh tahun dan ada di antaranya telah berniaga sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi. Golongan ini rata-rata berumur sekitar 60 tahun ke 70 tahun dan mereka mengamalkan buku kira-kira secara konservatif.

5.  Sistem perakaunan GST agak kompleks tetapi ianya tersusun dan mudah sekiranya mereka dapat mempelajari secara mendalam. Peniaga boleh membeli perisian perakauan GST di pasaran bagi memudahkan mereka merekod jualan dan pembelian serta mengenakan GST kepada pelanggan. Disamping itu, ia juga memudahkan mereka untuk untuk menuntut semula cukai yang telah dibayar (input tax) untuk pembelian bagi tujuan perniagaan.

6.  Namun begitu, golongan warga emas ini bukanlah mahir dengan penggunaan komputer kerana mereka telah biasa dengan sistem atau cara lama iaitu merekodkan semua urusan di dalam buku rekod. Ada yang bernasib baik kerana anak-anak mereka membantu dalam menguruskan akaun dan anak mereka ini mempunyai kemahiran dalam mengendalikan komputer.

7.  Bagi mereka yang mengendalikan sendirian, ia merupakan satu masalah yang besar kerana terpaksa mempelajari sistem komputer untuk mengendalikan akaun mereka. Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa belajar mengendalikan komputer dan ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mereka yang telah mencapai usia emas.

8.   Saya percaya situasi ini telah menyebabkan peniaga yang menjalankan perniagaan tunggal ini tertekan untuk menguruskan akaun melalui komputer. Mereka juga bimbang sekiranya tidak mematuhi peraturan atau gagal menghantar penyata mengikut masa yang ditetapkan, mereka bakal berdepan dengan tindakan undang-undang dan boleh dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah.

9.  Walaubagaimanapun ada juga peniaga yang mengambil sikap sambil lewa atau sikap tunggu dan lihat sewaktu sebelum pelaksanaan GST. Mereka diberi ruang dan masa yang secukupnya untuk membuat persediaan dan kerajaan telah memberi tempoh 18 bulan untuk membuat persediaan. 

10.  Peniaga ini menunggu di saat akhir untuk mendaftar walaupun nilai tahunan perniagaan mereka telah mencecah RM500 ribu. Mereka ini percaya bahawa kerajaan akan menangguh atau membatalkan pelaksaan GST dan sebab itu mereka tunggu dan melihat keadaan semasa.

11.  Apabila kerajaan melaksanakan GST pada 1 April 2015, peniaga-peniaga ini  mula kelam kabut dan melakukan persiapan di saat akhir. Peniaga ini perlu memahami konsep asas GST dan sekiranya mereka mula melakukan persediaan seawal kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST, peniaga pasti tidak akan menghadapi masalah dalam menguruskan akaun perniagaan.

12.  Kesimpulannya, pelaksanaan GST ini bukan satu sistem yang merumitkan dan peniaga yang menjalankan perniagaan tunggal ini memerlukan masa untuk mempelajari dan memahami konsep dan mekanisma GST. Pihak yang terbabit perlu memberi bimbingan dari masa ke semasa kepada golongan ini agar sistem pelaksanaan ini berjalan dengan lancar.

HISHAM NOR.
Petaling Jaya.

No comments: