Saturday, 23 May 2015

Ulasan Buku- DESTINI DI PENGHUJUNG PELANGI


JUDUL: DESTINI DI PENGHUJUNG PELANGI
PENULIS: Md Taib Mat
TERBITAN: MTM Consultants Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.

Kejayaan merupakan impian bagi setiap insan dan setiap perkara yang dilakukan pastinya mempunyai matlamat dan sasaran untuk dicapai. Dalam apa jua bidang yang diceburi, setiap individu akan cuba melakukan yang terbaik dan menggelakkan diri dari menemui kegagalan. Setiap kerumitan yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Setiap individu perlu motivasi diri bagi mengekalkan tahap kecemerlangan yang konsisten.

Buku terbaharu yang diterbitkan oleh MTM Consultants Sdn Bhd, Destini di Penghujung Pelangi, Menjuarai Kecemerlangan & Mengatasi Kegagalan adalah merupakan novel coaching kendiri dengan menggunakan teknik Neuro Linguistic Programming (NLP) untuk pelajar. Buku ini digarap dalam bentuk yang paling mudah difahami dan diikuti supaya pelajar mudah mengamalkannya.

Buku yang ditulis oleh Haji Md Taib Mat ini adalah merupakan sebuah buku motivasi dalam bentuk novel dan ianya bukanlah sebuah buku teori, tetapi mengandungi banyak saranan, tip-tip serta idea yang dapat dilaksanakan dengan serta merta selepas membacanya. Ianya ditulis dalam bentuk penceritaan bagi memastikan pembaca tertarik dan seronok membacanya. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis sebagai seorang coach dan maklum balas yang diterima selama bertahun-tahun.

Pelajar yang dahagakan kejayaan dan inginkan pelajarannya semakin kukuh dan mantap. Bagaimana hendak menjadi pelajar yang biasa kepada luarbiasa, pelajar dihidangkan dengan tip dan kaedah untuk memastikan mereka yang membaca buku ini menjadi lebih berjaya dan cemerlang. Jika pelajar tidak mahukan kegagalan, buku ini banyak memberi petunjuk untuk membolehkan pembaca mengatasinya.

Buku ini berasaskan kepada kaedah-kaedah Neuro-Linguistic Programming yang lebih dikenali akronimnya dengan NLP. Kaedah ini mengandungi berbagai-bagai teknik yang merangkumi sains dan seni bagaimana manusia dapat mencapai apa-apa yang dimahukannya. Buku ini terhasil daripada pemerhatian terhadap manusia yang cemerlang dan berdasarkan model-model kecemerlangan manusia.

Antara teknik-tenik NLP yang dimuatkan dalam buku ini termasuklah membina matlamat yang sempurna, garis masa atau timeline, mengendalikan keadaan diri atau state management, soalan dan pertanyaan kaedah model meta, gaya pemikiran manusia, fisiologi diri, dan banyak lagi.


Buku ini juga sesuai dibaca oleh ibu bapa dan guru untuk dijadikan panduan bagi mendidik serta memberi motivasi kepada anak dan pelajar mereka. Buku ini mnyedarkan pembaca supaya sentiasa menjadi individu yang cemerlang.


No comments: