Saturday, 23 May 2015

ULASAN BUKU- GST UNTUK BISNES & PENIAGA


JUDUL: GST UNTUK BISNES DAN PENIAGA
PENULIS: Norsa’adah Ahmad
TERBITAN: TrueWealth Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.


Pelaksanaan GST pada 1 April 2015 memberi senario baru kepada sistem percukaian negara. GST merupakan satu sistem cukai kepenggunaan yang lebih cekap dan telus berbanding  Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang telah dilaksanakan sejak tahun 1970an. Penulisan buku GST untuk bisnes dan peniaga yang di tulis oleh Norsa’adah Ahmad mengupas beberapa persoalan penting dalam pelaksanaan GST khususnya kepada peniaga. Isu pelaksanaan GST telah lama di perkatakan oleh  peniaga kerana mereka merupakan golongan yang akan melaksanakan sistem percukaian baru ini.

Dalam buku ini, penulis menyenaraikan 40 soalan penting berkaitan GST yang memfokuskan konsep dan pelaksanaan GST, pengenalan kepada terma-terma teknikal dalam GST yang diberikan penerangan secara mudah, undang-undang dan peraturan GST serta implikasi GST kepada beberapa industri terpilih. Pemahaman tentang pelaksanaan GST bakal membantu peniaga untuk membuat keputusan yang wajar dalam perniagaan dan operasi syarikat sama ada dari segi strategi bisnes, pembangunan modal insan dan pengurusan aliran tunai.

Penulis telah melakukan kajian dan perbandingan di 7 buah negara terpilih berkaitan dengan sistem percukaian dan pelaksanaan GST atau dikenali sebagai VAT (Value Added Tax) di sesetengah buah negara.  Hampir kesemua negara anggota ASEAN telah melaksanakan GST kecuali Myanmar dan Brunei.

Bahagian 1 buku ini membincangkan mengenai apa itu GST dan mengapa sistem percukaian baru ini perlu dilaksanakan untuk menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan. Bahagian 2 menumpukan kepada keperluan untuk mendaftar dengan GST dan siapakah yang layak untuk mendaftar. Pendaftaran GST bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis pembekalan, nilai ambang (threshold) dan lokasi perniagaan. Bahagian 3 pula memberi maklumat tentang latihan yang disediakan oleh kerajaan serta insentif yang ditawarkan kepada peniaga untuk mengurangkan beban kewangan dan pentadbiran.

Bahagian 4 hingga 7, membincangkan mengenai model GST dan mekanisme cukai kepenggunaan yang cekap dan telus merangkumi pelbagai jenis pembekalan mengikut takrifan pembekalan bercukai dan dikecualikan. Beberapa persoalan teknikal berkaitan formula pengiraan GST dan format invois di perjelaskan bagi memudahkan peniaga mengurus perakauan.

Penulis menerangkan takrifan cukai input dan cukai output serta apakah jenis cukai input yang dibenarkan dan cukai output yang boleh dikenakan kepada pelanggan. Beberapa contoh diberi bagi memudahkan pembaca memahami dengan mudah langkah penyediaan penyata cukai berdasarkan maklumat dan rekod perakauan perniagaan.

Bahagian 8 menjawab beberapa persoalan berkaitan aspek pematuhan dan kesalahan di bawah Akta Cukai dan Perkhidmatan 2014. Peniaga perlu mengambil perhatian tentang beberapa aspek utama seperti pendaftaran, penyimpanan rekod, pemfailan cukai dan aktiviti frod serta pengekan cukai. Bahagian 9 pula menjelaskan impak GST kepada beberapa sektor ekonomi khususnya pengilangan, perkhidmatan, peruncitan, pertanian, dagangan emas dan hartanah.

Buku ini mudah difahami dan sangat sesuai dijadikan rujukan peniaga. Ianya juga menjawab persoalan GST yang wujud dalam industri dengan penjelasan yang menyeluruh. Masyarakat awam juga boleh mendapatkan manfaat daripada buku ini dan memahami bagaimana pelaksanaan GST pada peringkat industri bagi menambahkan pengetahuan.


No comments: