Saturday, 23 May 2015

ULASAN BUKU- GST UNTUK PENGGUNA


JUDUL: GST UNTUK PENGGUNA
PENULIS: Norsa’adah Ahmad
TERBITAN: TrueWealth Sdn Bhd

Oleh:                                                                                               
Hisham Nor.


Pelaksanaan GST pada 1 April 2015 menjadi perhatian masyarakat khususnya pengguna. Keperihatinan dan kesedaran ini dapat memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kepada paras tidak munasabah yang akhirnya akan membebankan pengguna. Penulisan buku GST untuk Pengguna: 40 soalan penting untuk memahami GST dan pelaksanaannya di Malaysia yang di tulis oleh Norsa’adah Ahmad mengupas beberapa persoalan penting dalam pelaksanaan GST khususnya kepada pengguna dan menghadapi perubahan ini dengan positif dan efektif.

Dalam buku ini, penulis menyenaraikan 40 soalan penting berkaitan GST yang memfokuskan konsep dan pelaksanaan GST, peranan semua pihak termasuk jabatan kerajaan, peniaga dan pihak swasta, hak pengguna serta implikasi GST kepada pengguna.

Penulis telah melakukan kajian dan perbandingan di beberapa buah negara terpilih berkaitan dengan sistem percukaian dan pelaksanaan GST atau dikenali sebagai VAT (Value Added Tax) di sesetengah buah negara.  Hampir kesemua negara anggota ASEAN telah melaksanakan GST kecuali Myanmar dan Brunei.

Bahagian 1 buku ini menjelaskan apa itu GST dan perbezaannya dengan cukai jualan dan perkhidmatan. Manakala bahagian 2 menyenaraikan beberapa insentif kepada rakyat serta pakej bantuan untuk mengurangkan beban kewangan golongan sasaran. Bahagian 3 pula membincangkan implikasi GST kepada pengguna dan secara umumnya terdapat beberapa jenis barang akan mengalami peningkatan pada peringkat awal pelaksanaan.

Bahagian 4 buku ini memberi tumpuan kepada hak pengguna dalam GST kerana pengguna merupakan golongan yang akan menanggung cukai ini. Bahagian ini turut menjelaskan peranan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaku agensi pelaksana dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) dalam menangani aktiviti pengambilan untung yang berlebihan oleh peniaga.

Bahagian 5 menyenaraikan syarat dan langkah demi langkah untuk pelancong membuat tuntutan semula cukai yang telah dibayar. Skim ini di kenali sebagai Skim Bayaran Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) dan skim ini melayakkan pelancong menuntut semula cukai yang dikenakan semasa membuat pembelian di Malaysia.

Bahagian 6 dan 7 pula menjawab persoalan berkaitan amalan perbelanjaan yang bijak di kalangan pengguna. Persoalan tentang isu berkaitan GST seperti kesan pelaksanaannya kepada ekonomi negara dan sama ada GST di benarkan dalam islam.

Buku ini sangat praktikal kerana ia menerangkan secara ringkas dan jelas tentang GST. Ia amat berguna kepada pembaca kerana mudah difahami dan sangat sesuai dijadikan rujukan.


No comments: