Thursday, 29 December 2016

SEINDAH KOTA SUCI MEKAH


1.  Saban tahun berjuta umat islam di seluruh dunia mengunjungi kota suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah dan haji. Kesemuanya bertumpu ke kota suci itu khususnya Masjidil Al-Haram untuk menunaikan ibadah.

2.  Kaabah yang menjadi arah kiblat ke umat Nabi Muhammad S.A.W menjadi tumpuan sepanjang tahun. Jemaah meningkat saban hari khususnya pada musim haji.

3.  Pada bulan November yang lalu penulis berkesempatan untuk menghadiri bengkel di Jeddah. MENAFATF/FATF Workshop on Money Laundering telah diadakan selama 4 hari di Hilton Jeddah, hotel mewah bertaraf 5 bintang berdepan Laut Merah.

4.  Seramai lebih 100 peserta terdiri dari beberapa negara Teluk menyertai bengkel ini bagi membincangkan isu-isu global berkaitan penggubahan wang haram.

5. Disepanjang kursus, pihak pengajur telah memberi ruang kepada peserta beragama islam untuk menunaikan umrah dengan menyediakan pengangkutan atau coaster ke tanah suci Mekah.

6. Penulis amat teruja dengan keputusan penganjur yang menguruskan pengangkutan secara percuma ke Mekah. Tambahan pula, inilah dinamakan rezeki yang tidak diduga kerana kali terakhir mengunjungi Mekah adalah pada tahun 1999 sewaktu menunaikan ibadah haji.

7. Selama 4 hari berbengkel, penganjur telah menyediakan pengangkutan selama 2 hari berturut ke Mekah. Selesai bengkel pada jam 5.00 petang, peserta termasuk penulis bergegas ke bilik untuk bersiap dan mandi sunat serta solat sunat ihram.

8. Tepat jam 6.00 petang, peserta telah siap menunggu di lobi menunggu coaster yang akan membawa kami ke Mekah. Perjalanan ke Mekah mengambil masa selama 1 jam 30 minit. Ianya juga bergantung kepada lalulintas yang mana sering berlaku kesesakan di Jeddah kerana jumlah kenderaan yang banyak.

9. Kami tiba di Mekah pada jam 8.00 malam dan coaster akan mengambil kami semula pada jam 11.00 malam. Tempoh 3 jam agak singkat, namun dengan masa yang ada penulis bersama rakan-rakan dapat melaksanakan ibadah umrah.

10. Waktu yang singkat digunakan sebaiknya. Syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dilapangkan laluan dan dipermudahkan perjalanan. Masjidil Haram tidak begitu sesak dan boleh dikatakan lapang. Mungkin waktu itu, masih diperingkat awal cuti sekolah bagi negara tertentu.

11. Pembangunan disekitar Masjidil Haram juga kelihatan perlahan dan tidak banyak kren disekeliling. Mungkin kebanyakkan projek yang rancak sebelum ini telah siap dilaksanakan.

12. Penulis ingin kongsikan pengalaman ini sebagai yang terindah kerana disamping melaksanakan tugas negara, kesempatan juga digunakan untuk menunaikan ibadah.

13. Banyak negara telah dilawati penulis seperti Doha, Dubai, Korea Selatan, Macau, Taiwan, Australia, Vietnam, Thailand, Singapura, Indonesia… Ianya tidaklah seindah kota suci Mekah. Moga dimurahkan rezeki untuk ke sana lagi… Aamiin.

Hisham Nor
Petaling Jaya.



No comments: